Gempa 8.9 skala richter cetus tsunami di Jepun  

Posted by Insan yang kerdil

Harakahdaily


TOKYO, 11 Mac: Gempa bumi bermagnitud 8.9 pada skala richter melanda Jepun awal petang tadi mengakibatkan tsunami setinggi 10 meter melanda bebarapa bandar kawasan pantai negara itu.

Kejadian itu mengakibatkan banyak kes kecederaan, namun kes kematian masih belum diperolehi dari kawasan yang dilanda bencana di pulau Honshu.

Ombak setinggi 10 meter dilaporkan melanda Sendai di timur laut Miyagi, pulau Honshu mengakibatkan banyak kapal, kereta dan sisa runtuhan dihanyutkan ke kawasan bandar. Gempa bumi itu mengakibatkan gegaran kuat bangunan di Tokyo yang dihuni 30 juta penduduk.

Sekurang-kurangnya enam kes kebakaran dilaporkan di Tokyo akibat gempa selain menyebabkan sistem subway dihentikan, siren kecemasan dibunyikan dan orang ramai berpusu-pusu keluar dari bangunan.

Kepulan asap dikesan membabitkan sekurang-kurangnya 10 lokasi di bandar raya itu di mana lebih empat juta kediaman terputus bekalan elektrik selain beberapa kawasan ditenggelami air termasuk kawasan letak kereta Disneyland Tokyo.

Gempa bumi berlaku pada jam 2.46 petang (0546 GMT) selama dua minit dengan gempa pertama kira-kira 400 kilometre di timur laut Tokyo, menurut US Geological Survey.

Ia diikuti beberapa gempa susulan antaranya sekuat 7.1 skala richter.

Perdana Menteri, Naoto Kan memanggil sidang Kabinetnya sejurus dilanda gempa dan kerajaan Jepun menghantar kapal tentera lautnya dari Tokyo ke kawasan yang paling teruk di timur laut Miyagi.

Jepun terletak di atas Lingkaran Api Pasifik dan turut mempunyai titik gunung berapi di mana Tokyo terletak di antara kawasan paling berbahaya.

Amaran tsunami turut dikeluarkan kepada Taiwan, Russia dan Kepulauan Mariana, kata Pusat Amaran Tsunami Pasifik. - Agensi

video yang menunjukkan tsunami yang melanda jepun

Gempa bumi terburuk sejak 140 tahun di Jepun pagi tadi terus memberi impak ekonomi.

Beberapa stesen nuklear dan loji minyak negara itu terpaksa ditutup menyebabkan kerugian ketara.

Turut disahkan, tiga reaktor nuklear di Loji Nulkear Onagawa, utara Jepun ditutup serta merta akibat gempa yang terlalu kuat.

Tiga loji minyak dan gas di Sendai, Kashima dan Negishi turut menghentikan operasi.

Kilang besi utama negara itu juga terbakar.

Selain itu, sistem rangkaian jalan teruk terjejas.

Bank Pusat Jepun yang masih berdepan kesukaran merangsang ekonomi negara itu, kini sedang berusaha memastikan pasaran kewangan kekal stabil.

Beberapa kilang automotif dan semikonduktor di utara Jepun dijangka terpaksa ditutup.

Mata wang Yen turut didagang lemah susut 0.3 peratus berbanding dolar Amerika.


This entry was posted on Friday, March 11, 2011 at 2:54 PM . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment