Menanti sebuah Hidayah  

Posted by Insan yang kerdil in

Hidayah adalah anugerah dan hak milik Allah. Sesungguhnya apabila Dia berkehendak untuk memberikan hidayah kepada hamba-hamba-Nya yang Dia kehendaki, maka tidak akan ada suatu apa pun yg boleh menghalangNya.


Firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan barang siapa disesatkanNya, maka engkau tidak akan mendapatkan seorang penolong yang dapat member petunjuk kepadanya”(al-Kahf: 17)

Hidayah adalah sesuatu yang terlalu abstrak untuk dijelaskan dan tidak tahu bila hidayah itu menyerap dan menyelinap masuk ke dalam diri manusia. Namun ia dapat dirasai apabila ia mula menyentap fitrah manusia dengan kebenaran dan meruntuhkan kebatilan. Lalu timbul rasa ingin mencari kebenaran dan akhirnya bertemu jalan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Hidayah mengikut Kamus Dewan bermaksud: “pimpinan atau bimbingan daripada Tuhan, petunjuk”. (Kamus Dewan, edisi keempat, K.L, 2005, hlm:531).

al-Jurjani mentakrifkan hidayah sebagai “Petunjuk yang menyampaikan seseorang kepada perkara yang dituntut”. (al-Jurjaniy, ‘Ali bin Muhammad bin ‘Ali 816H, al-Ta’rifat, Dar al-Kutub al-‘Arabiy, cet: 4, 1418H-1998M, hlm:319).

Firman Allah swt dalam surah al-Fatihah yang bermaksud: Bimbinglah kami ke jalan yang lurus. (al-Fatihah: 6). Abu al-Fida’ Ismail bin Kathir menjelaskan makna hidayah: “Hidayah dalam ayat ini bermakna petunjuk dan taufik”.

Beliau menambah lagi dengan tafsiran: “Ilhamkanlah kepada kami, pandulah kami, kurniakanlah kami serta berilah kepada kami”. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, Dar al-Faiha’, Damsyiq, 1414H-1994M, cet:1, jld:1, hlm:50

Jelas di sini bahawa hidayah adalah petunjuk daripada Allah kepada hambanya yang terpilih seperti mana yang dijelaskan dalam surah al-Qasas yang bermaksud:
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayat petunjuk (kepada memeluk Islam). (al-Qasash: 56 ).

Benar, Hidayah itu milik Allah, namun ini bukan bererti kita hanya perlu menunggu tanpa berusaha sedikitpun untuk mendapatkannya. Adakah kita berfikir hidayah itu akan datang sendirinya tanpa kita berusaha untuk membuka mata hati, dan akal kita untuk berfikir tiap hikmah kejadian, peristiwa, di sekeliling kita? Jika kita tidak berusaha untuk membuka pintu atau jendela hati kita, manakan dapat cahaya dari luar menerobos masuk ke hati kita?

Ada dikalangan manusia yang apabila di tegur akan kesalahan mereka, mereka akan memberi pelbagai alasan yang yang agak tidak cerdik..
Alasan-alasan segegini sentiasa kita dengar:
-" belum sampai seru lagi, bila dah sampai seru nanti saya berubah la "
-" Nantilah aku buat, belum dapat hidayah lagi kot aku ni"
-" aku ni masih muda, enjoy la dulu, bila sampai masanya nanti aku bertaubat la"
-“ Mereka tak dapat hidayah Allah SWT, sebab itulah buat maksiat”

Dan ada pula yang berkata:

“mati nanti kubur lain2, nanti pandai2 la aku jawab dengan Allah”
“apa yang saya buat ni biarlah antara saya dengan Allah je”

Dengan memberi alasan-alasan sebegitu seolah-olah mereka menyalahkan Allah kerana masih belum memberi hidayah/seru/petunjuk dan seumpamanya kepada mereka. Sedangkan mereka tidak sedikitpun berganjak untuk mendapatkan hidayah Allah.

Sebenarnya dengan mengetahui sesuatu perkara kebaikan juga merupakan suatu bentuk hidayah atau petunjuk dari Allah. Saya mengambil contoh dalam isu penjagaan aurat, saya yakin setiap orang Islam mengetahui bahawa menutup aurat itu adalah wajib dan perkara ini juga sering kali di tekan oleh pelbagai pihak dan dimana saja. bukankah dengan mengetahui tentang kewajipan menutup aurat itu juga merupakan satu petunjuk kepada mereka agar melaksanakan kewajipan itu. Ya! mereka sebenarnya telah diberi hidayah/petunjuk. Tinggal lagi usaha yang harus mereka gerakkan agar hidayah yg telah sedia ada itu dapat menyerap dan meresapi ke seluruh sanubari mereka. Tp berapa ramai yang mengetahuinya tetapi sengaja mengendahkannya. Maka disini, bolehkah untuk mereka mengatakan bahawa masih belum sampai seru/hidayah untuk mereka laksanakan sesuatu perintah sedangkan mereka telah mengetahui tentang kewajipannya. Jika mereka mengatakan pengetahuan yg mereka ada itu bukanlah hidayah/seruan, maka bentuk seruan bagaimana lagi yang mereka nanti-nantikan untuk membuatkan mereka benar-benar kembali kepada Allah.

Allah berfirman yang bermaksud "Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna."(Surah Az-Zumar, Ayat18) )

Allah juga berfirman: “Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh berusaha di dalam agama Kami, nescaya Kami akan beri petunjuk kepada mereka akan jalan-jalan kami.”(Al-Ankabut: 69)

Malalui dua ayat di atas, jelas kepada kita bahawa Allah menghendaki hambaNya berusaha untuk mendapatkan hidayah, maka selepas itu barulah Allah akan memberikan hidayahNya.


Mungkin ramai yang pernah terdetik bisik bisikan hati seperti ini ;
>> Bila lah aku nak berubah ni..
>> Sampai Bila Aku nak Berhenti dari semua ni?
>> Bila lah aku nak mula sembahyang?
>> Bila lagi aku nak pakai pakaian yang menutup aurat ni?

Adakah kita dapat menangkap 'sesuatu' di sebalik semua bisikan-bisikan halus ini? Siapa yang menggerakkan hati kita untuk terzahir bisikan-bisikan halus sebegini? Siapa lagi kalau bukan Yang sentiasa berhak ke atas kita, Allah s.w.t..

Mungkin ramai yang terlepas pandang, atau tidak langsung mahu berfikir, lintasan-lintasan hati, bisikan-bisikan halus ini juga adalah salah satu cabang hidayah. Allah itu Maha Bijaksana PerancanganNya, dengan itu juga Allah memberikan hidayahNYA dengan pelbagai cara yang kita tidak pernah menjangkakannya.

Namun, berapa ramaikah kita yang akan dan mahu menjawab bisikan-bisikan hati tadi?
Sehingga bisikan itu dilupakan terus, dan kembalilah kita hidup terus bergelumang Dosa dan noda, terus-terusan menutup pintu hidayah..
(hidupuntukyangmahahidup.blogspot)

Sebenarnya, selain hidayah, kita juga memerlukan taufiq dari Allah.
Apa itu taufiq?

Menurut kitab Jauharah Tauhid, pengertian taufiq ialah sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT yang mendorong seseorang itu untuk melakukan kebaikan jika perkara tersebut berada di dalam dirinya.

Taufiq tidak akan diberikan oleh Azza Wajalla melainkan hanya kepada mereka yang bersungguh-sungguh mengabdikan diri dengan rasa kehambaan demi mendekatkan diri kepadaNYA. Ianya berdalilkan ayat 69 surah al-Ankabut yg terdapat di perenggan atas entri ini.

Secara ringkasnya ia memberi kefahaman kepada kita bahawa dengan adanya taufiq, manusia akan cenderung untuk melakukan kebaikan terus menerus sehingga ke akhirnya.

Dengan itu, berusahalah mendapatkan sebab-sebab hidayah, niscaya anda mendapatkan hidayah tersebut dengan izin Allah. Di antara usaha itu ialah berdo’a agar mendapat hidayah, memilih teman yang soleh, selalu membaca, mempelajari dan merenungkan Kitab Allah, mengikuti majlis-majlis dzikir dan ceramah agama, mendengarkan kaset pengajian agama, membaca buku-buku tentang keimanan dan sebagainya.

Tetapi, sebelum melakukan semua itu kita hendaklah terlebih dahulu meninggalkan hal-hal yang boleh menjauhkan diri kita dari jalan hidayah. Seperti teman yang tidak baik, membaca majalah-majalah yang tidak mendidik, menyaksikan tayangan-tayangan yang membangkitkan perbuatan haram, dan sebaginya.

Insya’allah setelah kita berusaha mendapatkan sebab-sebab hidayah, Maka Allah akan memberikan kita taufiq untuk melakukan segala kebaikan. Amin..
This entry was posted on Thursday, February 24, 2011 at 8:38 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment